Nama sebenar
beliau adalah Abu Dawud Sulayman bin al-As’ath bin Ishak bin Basyir bin Syadad
bin ‘Amru bin ‘Imran al-Azdi al-Sijistani. Tokoh ini dilahirkan pada 220 Hijrah
dan merupakan salah seorang daripada huffaz al-hadith yang terkenal. Mempunyai
tingkatan ilmu yang sangat tinggi dan sangat dihormati kerana keimanan,
kewarakan dan kemuliaan yang ada pada dirinya.
Mengembara
menuntut ilmu ke Iraq, Khurasan, Syam, Mesir dan banyak lagi tempat yang lain.
Abu Dawud merupakan seorang pengarang yang produktif dan ramai yang
menyamakannya dengan Imam Ahmad dari segi ibadah, kewarakan dan keilmuannya.
Tokoh ini mempunyai keilmuannya yang tinggi dalam bidang ilmu hadith dan juga
mahir dalam ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil yang dianggap mencabar dan susah untuk
dipelajari. Ilmunya juga sangat luas serta mendalam sekiranya ia berkait dengan
dengan matan dan sanad sesebuah hadith.
Pada tahun 272 Hijrah, Abu Dawud
telah datang ke Basrah dan telah dipelawa oleh Khalifah al-Muqaffiq supaya
menetap di sana. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menyemarakkan suasana
keilmuan dan pengajian di sana. Tentu sekali pelawaan itu diterima dengan hati
yang terbuka dan di situ jualah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya di dunia
ini. Abu Dawud telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 15 Syawal 275 Hijrah di
Basrah.
GURU-GURU ABU DAWUD
- Abu Amr al-Darir
- Abu al-Walid al-Tayalisi
- Imam Ahmad bin Hanbal
MURID-MURID ABU DAWUD
- Abu ‘Isa al-Tirmidhi
- Abu Abd al-Rahman al-Nasa’i
- Abu Sa’id al-‘arabi
KARYA-KARYA ABU DAWUD
Abu Dawud telah
berjaya menghasilkan banyak karya terutamanya berkaitan dengan hadith dan juga
syariah. Ada yang mengatakan bahawa karya hasilannya adalah sebanyak 12 buah,
dan yang paling masyhur sekali adalah kitab Sunannya. Antara karya-karya lain
adalah seperti:
i)
Kitab al-Masa’il
ii)
Kitab al-Marasil
iii)
Kitab al-Nasikh
iv)
Kitab al-Zuhd
v)
Kitab al-Qadr
PENGENALAN SUNAN ABU DAWUD
Kitab Sunan Abu
Dawud telah diletakkan oleh tokoh ilmuan pada tangga ketiga selepas Sahih
Bukhari dan Sahih Muslim, iaitu pada posisi pertama di antara al-Sunan
al-Arba’ah. Setelah selesai menyusun sunan ini, beliau membentangkannya kepada
Imam Ahmad dan diperakui olehnya. Pendekatan yang diambil oleh Abu Dawud adalah
berbeza dengan kedua-dua tokoh sebelum ini iaitu al-Bukhari dan Muslim kerana
ia melibatkan pemilihan hadith sahih, hasan dan juga da’if.
BILANGAN HADITH, KITAB DAN BAB BAGI SUNAN ABU DAWUD
Abu Dawud telah
meriwayatkan sebanyak 500,000 buah hadith, tetapi hanya 4800 buah
sahaja yang telah dipilih untuk dimasukkan ke dalam Sunannya. Jika dihitung
secara berulang-uang, jumlah kesemuanya adalah sebanyak 5274 buah hadith
(‘Ajaj Khatib al-Baghdadi : 1989, 321). Kitabnya pula adalah sebanyak 35
buah dengan 1871 bab.
METODOLOGI PENYUSUNAN SUNAN ABU DAWUD
·
Menyusun kitab berdasarkan bab-bab fiqh dan membatasinya untuk
al-sunnah dan hukum ahkam sahaja.
Manhajnya
adalah jelas, yakni menghadkan pemilihan pada hadith-hadith fiqh sahaja dan tidak
dikaitkan dengan kisah-kisah, peringatan-peringatan, zuhud, adab, tafsir,
kelebihan amal dan sebagainya. Justeru, Sunan Abu Dawud dianggap sebagai karya
Sunan pertama yang disusun berdasarkan bab fiqh.
·
Memilih hadith sahih, hasan dan yang selain daripadanya dengan
disertakan penjelasan.
Kitab Sunan ini
lebih dianggap sebagai sebuah karya hadith hasan. Sewaktu menjawab surat yang
dihantar oleh penduduk Mekah yang memintanya menjelaskan manhajnya, beliau
telah menyatakan dengan jelas : “Saya menyebut hadith sahih dan yang
menghampiri serta dekat dengannya (hasan) di dalam kitab saya ini. Jika
hadithnya terlalu da’if, saya akan jelaskan. Di dalam kitab ini juga tidak ada
satu pun hadith yang berasal daripada perawi yang matruk. Jika terdapat hadith
yang munkar, saya akan jelaskan.”
PERHATIAN ULAMA’ TERHADAP SUNAN ABU DAWUD
·
Para ulama’ telah banyak memberi perhatian kepada kitab ini
terutamanya karya berbentuk syarah :
-
Ma’alim al-Sunan :
al-Imam Abu Sulayman Ahmad bin Ibrahim bin Khattab al-Busti al-Khattabi (m.
388H)
-
‘Awn al-Ma’bud ‘ala Sunan Abu Dawud : Muhammad Asyraf bin ‘Ali Haidar al-Siddiqi al-‘Azim Abadi.
-
Al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud Sharh Sunan Abu Dawud : Mahmud bin Muhammad bin Khattab al-Subki
·
Abu Dawud sering mendapat pujian kerana sifatnya yang mulia, wara’
dan soleh. Malah beliau sangat dikenali dengan kehebatan ingatannya, keilmuan,
dan juga kefaqihan yang ada pada dirinya.
No comments:
Post a Comment