Saturday, 11 October 2014

SAHIH AL-BUKHARI


BIODATA PENGARANG

Nama sebenar pengarang ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju’fi al-Bukhari. Beliau dilahirkan selepas solat Jumaat, 13 Syawal 194 Hijrah, iaitu akhir kurun ke-2 Hijrah di Bukhara.[1] Beliau wafat pada malam Sabtu ketika solat Isya’, malam hari raya Aidilfitri tahun 256 Hijrah ketika usia 62 tahun.[2]

PENDIDIKAN

Al-Bukhari memulakan kehidupannya dengan menuntut ilmu semenjak kecil lagi.Mula menghafaz apabila berusia 10 tahun dan menerima ilmu dari ramai ulama apabila berumur 16 tahun. Seperti Muhammad bin Salam al-Baikandi, Harun bin al-‘Asy’at, ‘Abd Allah bin Muhammad al-Mashidi dan Muhammad bin Yusuf al-Baikandi. Setelah itu, beliau keluar mengembara ke Syam, Mesir, Jazirah, Basrah, Hijaz, Kufah dan Baghdad semata-mata untuk menuntut ilmu.[3]Apabila berusia 18 tahun, beliau sudah memberi kuliah kepada orang ramai.

PENGEMBARAAN ILMU

Pengembaraan al-Bukhari mencari ilmu bermula apabila di berusia 16 tahun.Beliau bersama-sama ibu dan saudaranya, Ahmad pergi ke Mekah untuk menunaikan haji.Mereka berdua pulang ke Bukhara tetapi al-Bukhari terus menetap di Mekah untuk mendalami ilmu dalam bidang hadith.Bagi beliau, Mekah dan Madinah adalah markaz ilmu yang penting di Hijaz. Beliau telah meletakkan asas bagi al-Jmi’ al-Sahihnya di sini dan banyak menimba ilmu dari ulama terkemuka seperti Abu Walid Ahmad bin Muhammad al-Arzaqi dan Ismail bin Salim al-Sayigh.[4]

GURU-GURU

Beliau mempunyai tabaqat gurunya yang tersendiri.[5]

  1. Tabaqat Pertama: Orang yang mengambil hadith dari tabi’in yang dikenali sebagai tabi’ al-tabi’in seperti Muhammad bin ‘Abd Allah al-Awsari.
  2. Tabaqat Kedua: Orang yang hidup sezaman dengan tabi’in tetapi tidak berpeluang untuk mengambil hadith dari tabaqat al-tabiin seperti Adam bin Abi Iyas.
  3. Tabaqat Ketiga: Golongan pertengahan dari guru-gurunya. Mereka yang mengambil hadith daripada kibar atba’ al-tabi’in seperti Sulaiman bin Harb.
  4. Tabaqat Keempat: Shabat-sahabatnya semasa menuntut dengannya, sama ada yang belajar dengannya atau lebih awal darinya seperti Abu Hatim al-Razi.
  5. Tabaqat Kelima: Murid-muridnya seperti Hamad al-Amili. Antara rasional al-Bukhari menerima hadith dari golongan ini ialah sebagaimana katanya: “Sesungguhnya tidak akan sempurna bagi ahli hadith melainkan setelah berguru kepada orang yang lebih darinya, sama dengannya atau kurang daripadanya.


MURID-MURID

Sebagai tokoh muhaddithin yang terkenal, ilmunya banyak dipelajari oleh orang di merata tempat yang dipelajarinya. Menurut al-Farabi: Kitab al-Bukhari didengar oleh 70 000 orang. Antara yang menjadi tokoh terkenal[6] adalah:

  • Al-Tirmidhi: seorang ulama dan huffaz yang terkenal. Berasal dari Tirmidh, sebuah Bandar lama di pinggir Jaihun. Telah menyusun kitab al-Jami’ al-Kabir yang dikenali sebagai Sunan al-Tirmidh atau al-Syama’il al-Muhammadi.
  • Al-Nasa’i: Seorang imam dan huffaz, pengarang kitab Sunan yang terkenal.
  • Muslim bin Hajjaj: Seorang huffaz dan ketua ilmu hadith. Pengarang kitab al-Jami’ al-Sahih. Menjadi seorang murid yang disayangi dan dimuliakan oleh al-Bukhari.
  • Ibn Khuzaimah: Seorang faqih dan mujtahid, berpengetahuan luas dalam ilmu hadith dan digelar Imam al-A’immah.
  • Abu Zur’ah al-Razi: Huffaz dan mahir dalam ilmu hadith.
  • Abu Hatim al-Razi: Huffaz dan orang yang rapat dengan al-Bukhari dan Muslim.

PENULISANNYA

Sepanjang kehidupan selama 62 tahun, al-Bukhari telah menghasilkan banyak karya-karya agung yang menjadi khazanah umat Islam yang paling bernilai. Antara karya karangan beliau[7] ialah:

  1. Qadaya al-Sahabah wa al-Tabi’in
  2. Al-Tarikh al-Kabir
  3.  Al-Tarikh al-Awsat
  4. Al-Tarikh al-Saghir
  5.  Al-Jami’ al-Kabir
  6. Al-Tafsir al-Kabir
  7. Birr al-Walidain
  8. Kitab al-Du’afa'
  9. Al-Jami’ al-Sahih
  10. Al-Musnad al-Sahih
Namun, bukan semua kitab karangannya berada di tangan umat Islam sekarang kerana ada yang telah musnah.Ada pula yang sangat terkenal dan diulang cetak beberapa kali seperti Sahih al-Bukhari.

AL-JAMI’ AL-SAHIH DAN METOD PENULISANNYA

Al-Jami’ al-Sahih merupakan sebuah kitab yang dikarang oleh Imam al-Bukhari.Al-Bukhari mula menulisnya setelah menjelajah ke serata negeri dan benar-benar mahir dalam bidang ini.Kitab ini tersusun dengan sempurna setelah 16 tahun pencarian yang penuh kesulitan dan penderitaan.Ia juga kitab pertama yang mengasingkan Antara hadith sahih dari hadith da’if.

DEFINISI

Nama asal kitab ini ialah al-Jami’ al-Sahih al-Musnad min Hadithi Rasulullah wa Sunanih wa Ayyamih[8]. Tetapi ia lebih dikenali sebagai Sahih al-bukhari atau al-Jami’ al-Sahih.
  1. Al-Jami’: Lengkap atau tidak terhad kepada masalah tertentu sahaja. Terkandung di dalamnya hukum-hukum, fadhilat-fadhilat, berita masa depan dan masa lampau dan lain-lainnya.
  2. Al-Sahih: Tiada di dalamnya sesuatu yang da’if.
  3. Al-Musnad: Hadith yang sanadnya bersambung kepada sahabat yang menyampaikannya daripada Rasulullah sama ada beebentuk perkataan, perbuatan atau pengakuan.
  4. Min Hadithihi Rasulullah wa Sunanihi wa Ayyamihi: Daripada hadith, sunnahnya dan hari-hari penghidupannya.
JUMLAH HADITH, KITAB SERTA BAB

Menurut Ibn Hajar, bilangan hadith dengan ulangan adalah sebanyak 7 397 hadith tanpa hadith mu’allaq, mutaba’at dan mawqufat dan tanpa pengulangan adalah sebanyak 2 602 buah hadith. Manakala, Kitabnya adalah sebanyak 97 buah dengan 3 450 buah bab.[9]

DORONGAN PENULISAN

Al-Bukhari sangat mengambil berat menghasilkan al-Jami’ al-Sahih sebagaimana katanya: Aku menyusun al-Jami’ dari 600 000 buah hadith selama 16 tahun dan aku jadikannya satu hujjah dariku kepada Allah.Bagi al-Bukhari, beliau memperoleh satu dorongan dan motivasi yang kuat dari gurunya yang menyatakan hasrat terpendam dalam hatinya selama ini iaitu untuk melihat satu hasil penyusunan kitab hadith ringkas yang mengandungi hadith-hadith Sahih Rasulullah sahaja.Kata-kata gurunya meresap jauh ke sudut hatinya dan menjadi pendesak yang sangat kuat untuk melaksanakan tanggungjawab mulia ini.

            Selain itu, pada masa tersebut tidak terdapat kitab hadith khusus yang memuatkan hadith-hadith sahih yang merangkumi pelbagai bidang dan masalah.Pada akhir zaman tabi’in, di saat ulama sudah merebak ke berbagai negeri, hadith-hadith Nabi sudah mula dibukukan. Orang pertama yang melakukannya adalah al-Rabi' bin Sabih (w. 160 H) dan Said bin Abu Arubah (w. 156 H), yang mana kaedah penulisan mereka terbatas pada hal-hal tertentu saja, sampai pada akhirnya ulama seterusnya menulis hadith lebih lengkap, mereka menulis hadith-hadith hukum yang cukup luas walaupun tulisan-tulisan mereka masih bercampur dengan fatwa-fatwa sahabat, tabi’in, dan tabi' al-tabiin seperti Imam Malik, Ibn Juraiz dan al-‘Auza’i.

Kemudian pada abad ke dua, ulama mula menulis hadith secara tersendiri tanpa dicampuri fatwa-fatwa sahabat dan tabi’in. Kaedah penulisannya berbentuk musnad dimana disebutkan terlebih dahulu nama sahabat kemudian hadith-hadith yang diriwayatkan. Ada pula yang menggabungkan antara kaedah bab-bab dan kaedah musnad seperti yang dilakukan Abu Bakar Syaibah.Namun demikian, kitab-kitab tersebut masih bercampur antara yang sahih, hasan dan daif.Inilah yang kemudian menjadi salah satu alasan Imam al-Bukhari atas inisiatifnya dalam mengumpulkan hadith-hadith yang sahih saja yang terdapat dalam al-Jami 'al-sahih.[10]

Dorongan ketiga adalah apabila dia bermimpi melihat Rasulullah sebagaimana katanya:
“Aku melihat Rasulullah di dalam mimpiku dan aku berada dekat dengan Baginda.Sewaktu itu aku mengipas Baginda dengan kipas yang berada di tanganku. Aku meminta agar mimpi itu dita’birkan dan para petafsir mimpi mengesahkan bahawa aku akan memisahkan kepalsuan dari hadith-hadith Rasulullah. Inilah yang mendorong aku menghasilkan al-Jami’ al-Salih.”

METODOLOGI PENYUSUNAN

Karya ini telah dianggap sebagai karya pertama yang memuatkan hadith-hadith sahih sahaja. Walaupun Imam al-Bukhari tidak menyatakan secara langsung metodologi serta syarat-syarat yang digunakan oleh beliau, para ulama telah berjaya mengesannya.antara syarat dan metodologi yang dimaksudkan adalah[11]:

1.      Pemilihan kualiti perawi hadith yang tinggi
Imam al-Bukhari sangat tegas dalam memilih hadith. Beliau hanya akan mengambil hadith daripada beberapa golongan perawi. Golongan pertama ialah yang mengambil hadith daripada tabi’in dan mereka dinamakan tabi’ al-Tabi’in. Antara tokoh-tokoh yang menjadi pilihan utama Imam al-Bukhari ialah Yunus bin Yazid, Aqli bin Khalid al-‘Iliyyun, Malik bin Anas, Sufyan bin ‘Uyaynah dan Shu’ayb bin Abu Hamzah.

            Golongan kedua adalah sama dengan golongan pertama dari segi kekuatan tetapi dalam golongan pertama itu terhimpun sifat-sifat hafalan dan keteguhannya. Golongan ini adalah yang hidup sezaman dengan tabi’in tetapi tidak berpeluang untuk mengambil hadith dari thaqafat al-tabi’in.Tokoh-tokoh yang termasuk di bawah golongan ini ialah al-Awza’I, al-Layth bin Sa’ad, ‘Abd al-Rahman bin Khalid bin Musafir dan Ibn Abu Zu’ayb.Walaupun begitu, Imam al-Bukhari tidak memasukkan kesemua hadith dari golongan ini kerana keutamaan Imam al-Bukhari adalah golongan yang pertama.

2.      Memilih hadith yang sahih sahaja
Perkataan “sahih” pada kitabnya sudah cukup menjadi gambaran pertama kepada manhajnya.Dasar ini adalah perkara yang paling diutamakan dalam penyusunan al-Jami’ al-Sahih. Setiap kali sebelum mengisi hadith dalam al-Sahihnya, beliau akan mandi dan bersolat memohon petunjuk dari Allah supaya pemilihannya tidak silap. Ini menjadi tanda kepada kesungguhan dan sifat tanggungjawab pada setiap hadith yang disusunnya.

3.      Mengulang-ulang, menjuzukkan dan meringkaskan hadith
Menjadi kebiasaan bagi al-Bukhari untuk menyebut hadith yang sama berulang kali atau menjuzukkannya dan meringkaskannya dalam bab-bab yang berasingan. Ini dilakukan berdasarkan kepada hukum yang dapat dikeluarkan daripada hadith yang berkaitan dan pastinya beliau tidak melakukannya kecuali kerana kepentingan sanad dan matan hadith tersebut.

            Antara kepentingan dan faedah yang dimaksudkan adalah:
                    i.            Membanyakkan turuq hadith
                  ii.            Meklumat tambahan kepada perselisihan makna lafaz-lafaz tertentu di dalam matan
                iii.            Sebahagian daripada riwayat itu adalah secara ‘an’anah, iaitu hadith mu’an’an. Maka ia memerlukan pembuktian daripada riwayat lain yang jelas menunjukkan berlakunya al-sima’ sebagai ganti dengan lafaz ‘an.

SYARAT-SYARAT PEMILIHAN HADITH

Imam al-Bukhari telah meletakkan syarat yang jelas di dalam kitabnya iaitu hanya memilih hadith yang menepati syarat-syaratnya iaitu:
  1. Memastikan sanadnya bersambung.
  2. Perawinya bersifat adil, thiqah dan memenuhi ciri-ciri perawi hadith maqbul.
  3. Perawi hadith tersebut mempunyai ingatan yang baik dan penjagaan hadith riwayatnya baik dari sudut tulisan atau hafalan (dhabit).
  4. Beliau berusaha untuk bertemu sendiri dengan perawi tersebut dan mengenali peribadinya.
  5. Beliau akan menolak mana-mana hadith yang mana perawinya tidak beramal dengan hadith.[12]


KEDUDUKAN DAN KEISTIMEWAAN AL-SAHIH AL-BUKHARI

Al-Sahih al-Bukhari adalah sebuah kitab yang paling masyhur di kalangan umat Islam, khususnya mereka yang banyak membaca dan mengkaji tentang hadith. Kitab ini mengandungi hadith-hadith sahih sahaja:
  1. Al-Sahih al-Bukhari mendapat pengiktirafan ulama sebagai kitab yang menduduki tempat kedua selepas al-Quran sebagai sumber agama.
  2. Kitab yang paling banyak dan tepat mengumpulkan hadith-hadith sahih berbanding kitab-kitab sebelumnya yang masih lagi bercampur dengan hadith yang berbagai martabat.
  3. Kitab ini adalah tapisan daripada 600 000 hadith  yang dilakukan selama 16 tahun.
  4. Pengarangnya istimewa dengan kekuatan hafalan anugerah Allah.
  5. Susunannya begitu mantap di mana hadith-hadithya merangkumi semua topik penting dan dasar dalam Islam, antaranya: Akidah, Fiqh, Akhlak, Muamalat, Sirah, Tafsir dan sebagainya.
  6.  Perbahasan hadith disokong oleh nas-nas al-Quran yang bersifat qat’I yang menunjukkan kebenaran hadith yang beliau tulis di dalam al-Sahihnya.
  7. Beliau juga memuatkan fatwa sahabat, tabi’in dan selepasnya selaras dengan hadith yang beliau tulis berdasarkan topik berkaitan.
  8. Beliau melakukan ijtihad dan sememangnya beliau digelar oleh ulama sezamannya sebagai seorang yang faqih dan mujtahid.[13]

PERHATIAN ULAMA TERHADAP SAHIH AL-BUKHARI

Ulama telah memberi perhatian yang sangat mendalam terhadap al-Sahih al-Bukhari ini.Beberapa ulasan terperinci mengenai koleksi ini telah ditulis dan ia telah menjadi penghurai kepada hadith di dalam kitab tersebut, seperti[14]:
  1.  Al-Kawakib al-Durari fi Sharh Sahih al-Bukhari: al-‘Allamah Syams al-Din Muhammad bin Yusuf bin ‘Ali al-Karmani (w. 786H)
  2. Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari: alImam al-Hafiz Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar al-‘Asqalani (w. 852H)
  3. ‘Umdah al-Qari: al-‘Allamah al-Sheikh Syihab al-Din Ahmad bin Muhammad al-Khatib al-Misri al-Shafi’I atau lebih dikenali sebagai al-Qastalani.





[2]Manahij Al-Muhaddithin Metode Dan Pendekatan Sarjana Hadith, Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin Wazir (Kuala Lumpur: Jabatan Al-Quran Dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2010),89
[4]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin Wazir, 77
[5]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin Wazir,77-78
[6]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin Wazir, 78
[8]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin, 82-83
[9]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin,83
[11]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin,  84-87
[12]Pengantar Ulum Hadith, Rosmawati bt. Ali @Mat Zin (Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd, 2005),  286
[13]Rosmawati bt. Ali @Mat Zin,  287-288
[14]Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin, 88-89

1 comment: