Saturday, 11 October 2014

SUNAN IBN MAJAH


RIWAYAT HIDUP IBN MAJAH

Nama sebenar pengarang kitab ini ialah (عبدالله بن يزيد بن ماجه الربعي القزويني) Abu Abd Allah bin Yazid bin Majah al-Rab’i al-Qazwini. Dilahirkan pada tahun 209 Hijrah dan membesar sebagai tokoh hadith yang terkemuka. Beliau dinisbahkan kepada puak al-Rabi’ah yang tinggal di Qazwin, berdekatan teluk Qazwin berdekatan dengan Iran. Kota Qazwin telah melahirkan ramai ulama yang tersohor.  Ibn Majah mula belajar sejak beliau masih muda lagi. Ada yang mengatakan bahawa beliau belajar hadith sejak usia 15 tahun pada seorang guru bernama Ali bin Muhammad at-Tanafasi. Pada usia 21 tahun dia mula mengembara untuk menulis dan mengumpulkan hadith. Negeri-negeri yang pernah dikunjunginya untuk tujuan itu di antaranya adalah Teheran, Basra, Kufah, Baghdad, Khurasan, Syria, dan Mesir.
.
ANTARA GURU-GURU BELIAU
  1. Harmalah bin Yahya
  2. Muhammad bin al-Harith
  3. Hisyam bin Ammar
  4. Ahmad bin Al-Azhar
  5. Abu Khaitsamah Zahîr bin Harb


ANTARA MURID-MURID BELIAU
  1. Ahmad bin Ibrahim al-Qazwini
  2. Ishak bin Muhammad al-Qazwini
  3. Sulayman bin Yazid al-Qazwini
  4. Abu Al-Hasan Ali bin Ibrahim Al-Qatthan
  5. Abu Bakar Hamid Al-Abhary


KARYA-KARYA BELIAU
  1. Kitab al-Sunan: merupakan salah satu dari Kutub al-Sittah.
  2. Kitab Tafsir al-Qur’an: sebuah kitab tafsir yang besar maanfatnya seperti diterangkan Ibn Kathir.
  3. Kitab al-Tarikh: mengandungi sejarah sejak masa sahabat sampai masa Ibn Majah.

PENGENALAN KITAB

Karya utamanya dalam bidang hadith adalah Sunan Ibn Majah yang dikenal sebagai salah satu dari enam kitab kumpulan hadith yang terkenal dengan al-Kutub as-Sittah (Kitab Yang Enam). Lima kitab hadith yang lain dari kumpulan tersebut adalah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi , dan Sunan an-Nasa’i.

Para ulama berpendapat bahawa kitab hadith Imam Ibn Majah “Sunan Ibn Majah” sebagai kitab keenam dari Kutub as-Sittah.Sunan Ibn Majah mengandungi sebanyak 4341 buah hadith disusun berdasarkan pecahan bab fiqh, serta mempunyai 32 buah kitab dan 1105 buah bab.

   Abu Ya’la pernah berkata, “Ibn Majah seorang ahli dalam ilmu hadith dan mempunyai banyak kitab”. Beliau menyusun kitabnya dengan bersistemkan ilmu fiqh, yang tersusun atas 32 kitab dan 1500 bab dan jumlah hadith yang di riwayatkan beliau sekitar 4000 buah hadith. Syaikh Muhammad Fuad Abdul Baqi mengatakan di dalam kitab Ibn Majah ada sebanyak 4241 hadith di dalamnya. Di dalam Sunan Ibn Majah ini terdapat hadith yang sahih, hasan, dhaif. Ibn Majah pengarang kitab Sunan.

   Susunannya itu menunjukan keluasan ilmunya dalam bidang Usul dan furu’, kitabnya mengandung 30 Kitab; 150 bab, 4.000 hadith. Al-Imam al-Bushiri (w. 840) menulis ziadah (tambahan) hadith di dalam Sunan Abu Daud yang tidak terdapat di dalam kitabul khomsah (Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan Nasa’i dan Sunan Tirmidzi) sebanyak 1552 hadith di dalam kitabnya Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah serta menunjukkan darjatnya adalah sahih, hasan dan dhaif.

   Di antara kitab-kitab yang disusun pada peringkat ini adalah kitab-kitab zawa’id, yang terkenal di antaranya adalah kitab Zawa’id Ibn Majah. Kitab ini disusun oleh Abu Ahmad bin Muhammad al-Busiri dalam kitab yang berjudul Misbah az-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah. Hadith-hadith yang hanya diriwayatkan sendiri oleh Ibnu Majah seperti tersebut di atas kebanyakannya daif (lemah).

   Hal ini dapat diketahui daripada keterangan-keterangan gurunya, Ibn Mulaqqin, dalam kitabnya yang berjudul Ma Tamussu Ilaihi al-Hajah ala Sunan Ibn Majah (Apa Yang Diperlukan dalam Sunan Ibn Majah).

   Sebagaimana kitab-kitab kumpulan hadith lainnya, kitab-kitab syarah (penafsiran) Sunan Ibn Majah juga banyak muncul pada abad-abad sesudahnya. Di antara kitab-kitab syarah itu adalah Misbah az-Zujajah Syarh Sunan Ibn Majah susunan as-Sayuti dan Syarh Sunan Ibn Majah (Penjelasan tentang Kitab Sunan Ibn Majah) susunan Muhammad Abdul Hadi as-Sindi.
  

  Ibn Majah juga telah menyusun kitab dalam berbagai cabang ilmu. Dalam bidang tafsir, ia menulis Tafsir al-Quran al-Karim. Ia juga menulis at-Tarikh, karya sejarah yang berisi biografi para periwayat hadith sejak awal hingga pada zamannya. Kerana tidak begitu popular, kedua-dua kitab tersebut ada kemungkinan tidak sampai ke tangan generasi sekarang. Karyanya yang paling masyhur adalah dalam bidang hadith iaitu as-Sunan atau dikenal juga dengan Sunan Ibn Majah.

PENDAPAT ULAMA TERHADAP IMAM IBN MAJAH

Ibn kathir pernah memuji beliau dengan katanya: “kemasyhuran pengarang kitab ini menunjukkan kepada peribadi dan keilmuannya yang tinggi, ketekunan dan luasnya ilmu dan pengkajiannya. Ia juga merupakan tanda-tanda ketaatannya dalam usul agama dan cabang-cabang yang lain”.


SUNAN AN-NASA’I


RIWAYAT HIDUP DAN REHLAH ILMIAH IMAM AN-NASA’I

Nama sebenar Imam an-Nasa’i adalah Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin ‘Ali bin Syu’aib bin ‘Ali bin Sinan bin Bahr al-Khurasani. Beliau dilahirkan pada tahun 215 Hijrah di Bandar Nasa’, Khurasan. Sejak kecil Imam an-Nasa’i menghafaz al-Quran dan menerima ilmu-ilmu asas di tempat kelahirannya. Meningkat remaja, beliau menuntut ilmu ke negeri Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan Jazirah untuk mencari ilmu, terutamanya ilmu hadith. Di sana beliau telah bertemu dan berguru dengan ramai ulama’ hebat dan terkenal. Berkat daripada usahanya itu, beliau terkenal sebagai seorang tokoh yang sangat mahir dalam bidang ‘ulum hadith. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai seorang yang mempunyai kekuatan hafazan yang hebat serta mahir dalam ilmu rijal dan ‘ilal..Beliau wafat di Ramallah, Palestin pada hari Isnin, 16 Safar tahun 303 Hijrah ketika berusia 88 tahun dan jenazahnya disemadikan di antara Safa dan Marwa.

GURU-GURU IMAM AN-NASA’I
  1. Qutaybah bin Sa’ad
  2. Abu Daud al-Sijistani 
  3. Al-Tirmidhi


MURID- MURID IMAM AN-NASA’I
  1. Abu al-Qasim al-Tabarani
  2. Abu Ja’afar al-Tahawi
  3. Abu ‘Ali al-Naisaburi


KARYA-KARYA IMAM AN-NASA’I
  1. Al-Sunan al-Kubra
  2. Al-Sunan al-Sughra (al-Mujtaba) 
  3. Al-Khasa’is ‘Ali
  4. Al-Khasa’is al-Nabawiyyah


METODE PENULISAN KITAB SUNAN AN-NASA’I

Imam an-Nasa’i merupakan seorang tokoh hadith yang ketat syaratnya dan tegas dalam periwayatan hadith, terutamanya yang melibatkan rijal hadith. Imam an-Nasa’i telah mengarang kitab al-Sunan al-Kubra dan dihimpunkan di dalamnya hadith-hadith sahih, hasan dan yang hampir dengannya. Kemudiannya beliau meringkaskan hadith-hadith tersebut ke dalam sebuah kitab yang dipanggil al-Mujtaba dan dikenali juga sebagai kitab al-Sunan al-Sughra.

Beliau menyusun kitab sunannya itu berdasarkan tajuk ilmu fiqh dan membahagikannya kepada 51 kitab serta dipecahkan kepada bahagian kecil yang dinamakan bab. Kitab sunannya mengandungi sejumlah 5761 buah hadith. Walaupun kitab al-Sunan al-Sughra merupakan ringkasan daripada al-Sunan al-Kubra, tetapi Imam an-Nasa’i telah memasukkan beberapa riwayat baru ke dalam kitab tersebut. Ini bermakna bahawa semua hadith yang terdapat di dalam kitab al-Sunan al-Kubra terdapat juga di dalam kitab al-Sunan al-Sughra, akan tetapi tidak semua yang terdapat di dalam kitab al-Sunan al-Sughra boleh ditemui di dalam kitab al-Sunan al-Kubra. Malah, penyusunannya juga tidak terikat dengan induk asalnya itu.[1]

ANTARA CIRI DAN SYARAT YANG DIKENAKAN OLEH IMAM AL-NASA’I DALAM PENYUSUNAN KITAB SUNANNYA
  1. Hadith itu mestilah diriwayatkan daripada perawi yang berdasarkan kepada ijma’ para fuqaha’.
  2. Dalam mengumpul dan mencatat hadith, Imam an-Nasa’i akan mencatat rantaian-rantaian sanad yang berlainan bagi sesebuah hadith, kemudiannya beliau menjelaskan mana yang benar diantara rangkaian tersebut.
  3. Sekiranya terdapat sanad yang tidak benar, Imam an-Nasa’i akan menjelaskan sebab dan punca kecacatannya. Untuk itu, di dalam Kitab al-Sunan al-Nasa’i terdapat hadith sahih, hasan dan da’if. Walaupun di dalam kitab tersebut terdapat hadith da’if, namun hanya segelintir sahaja hadith da’if yang dikumpulkannya.

KEDUDUKAN DAN KEISTIMEWAAN SUNAN AL-NASA’I
  1. Sunan al-Nasa’i atau al-Mujtaba adalah sebuah kitab hadith yang penting.
  2. Sunan al-Nasa’i termasuk salah sebuah kitab yang paling sedikit memuatkan hadith-hadith da’if.
  3. Sunan al-Nasa’I menduduki tempat ketiga selepas Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dari segi kurangnya bilangan hadith da’if.
  4. Menurut Imam al-Subki, Imam al-Nasa’i lebih banyak menghafaz hadith-hadith berbanding Imam Muslim.
  5. Menurut al-Hakim dan al-Khatib, syarat perawi hadith dalam Sunan al-Nasa’I lebih kuat berbanding dengan syarat perawi hadith dalam kitab Sahih Muslim.[2]





[1] Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni & Rosni Wazir, Manahij al-Muhaddithin Metode Dan Pendekatan Sarjana Hadith, (Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya: 2010 ), 110.
[2] Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin, Pengantar Ulum Hadis, ( Pustaka Salam Sdn Bhd: 2005), 313.

SUNAN TIRMIDHI


 RIWAYAT HIDUP  IMAM TIRMIDHI

Nama sebenar pengarang kitab ini ialah Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah bin Musa bin al-Dahhak al-Salmi al-Tirmidhi. Dilahirkan pada tahun 209 Hijrah di Bandar Tirmiz berhampiran Sungai Balakh. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 13 Rejab 279 Hijrah ketika berusia 70 tahun.

GURU-GURU IMAM TIRMIDHI
  •  Al-Bukhari
  •  Muslim
  •  Abu Dawud al-Sijistani
MURID-MURID IMAM TIRMIDHI
  • Makhul bin al-Fadl
  •  Hamad bin Syakir
  •  Ahmad bin Yusuf al-Nasafi
KARYA-KARYA IMAM TIRMIDHI
  1. Sunan al-Tirmidhi
  2. Kitab al-Tawarikh
  3. Al-‘Ilal al-Kabir
  4. Syama’il al-Nabawiyah
PENGENALAN KITAB

Kitab ini merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti sirah, adab, tafsir, aqidah dan lain-lain. Nama  lain bagi 'Sunan Al-Tirmizi' ialah:
Sahih Al-Tirmizi: disebut oleh Al-Khatib Al-Baghdadi (463H)
  • Al-Jami‘ Al-Sahih: disebut oleh Al-Hakim (405H)    
  • Al-Jami‘ Al-Kabir: disebut oleh Al-Kuttani dalam kitab Al-Risalah Al- Mustadrafah (nama ini sangat jarang digunakan)
  • Al-Jami‘ Al-Tirmizi: nama ini sangat masyhur digunakan bagi kitab ini.
  • Al-Jami‘ Al-Mukhtasar min Al-Sunan Rasulillah Wa Ma‘rifatu Al- Sahih wa Al-Ma‘lul wama ‘Alayhi ‘Amal, dan nama yang terakhir inilah yang paling sahih.
Hadith-hadith yang terdapat dalam Sunan ini boleh dibahagikan kepada 4 perkara:
  1. Hadith sahih yang telah dipersetujui oleh al-Bukhari dan Muslim.
  2. Hadith yang kurang sedikit martabat sahihnya daripada hadith yang pertama iaitu yang menurut syarat Abu Dawud dan al-Nasa’i.
  3. Hadith yang diriwayatkan kerana ia menjadi dalil dalam masalah khilaf. Apabila isu khilaf ini melibatkan masalah fiqh, al-Tirmidhi akan mendatangkan hadith bagi mazhab yang rajah dan juga yang tidak rajah. Bagi yang tidak rajah, al-Timidhi akan membuat penilaian terhadap hadith itu dan menerangkan ‘illah yang terdapat didalamnya.
  4. Hadith-hadith yang diamalkan oleh para fuqaha’, sama ada ia sahih atau tidak.
METODOLOGI PENYUSUNAN
  • Tidak hanya mengkhususkan pada hadith sahih semata-mata.
  • Memilih hadith yang boleh diamalkan dan dijadikan sebagai hujah sahaja.
  • Menerangkan darjat hadith dan pembahagian hadith dalam bentuk yang baru.
KITAB SYARAH
  1. Aridat al-Ahwazi ditulis oleh Abu Bakar binal-Arabi al-Maliki (468-543 H).
  2. Al-Mungihu al-Syadzi fi Syarah at-Tirmidhi karya Muhammad bin Muhammad bin Muhammad yang terkenal dengan nama Ibn Sayyid an-Nas as-Syafi’i.
  3. Syarh at-Tirmidhi yang ditulis Abul Faraj Zainuddin.
  4.  Al-Lubab oleh Ibn Hajar al-Asqalani(773H)

SUNAN ABI DAUD


RIWAYAT HIDUP DAN REHLAH ILMIAH ABU DAWUD

            Nama sebenar beliau adalah Abu Dawud Sulayman bin al-As’ath bin Ishak bin Basyir bin Syadad bin ‘Amru bin ‘Imran al-Azdi al-Sijistani. Tokoh ini dilahirkan pada 220 Hijrah dan merupakan salah seorang daripada huffaz al-hadith yang terkenal. Mempunyai tingkatan ilmu yang sangat tinggi dan sangat dihormati kerana keimanan, kewarakan dan kemuliaan yang ada pada dirinya.

            Mengembara menuntut ilmu ke Iraq, Khurasan, Syam, Mesir dan banyak lagi tempat yang lain. Abu Dawud merupakan seorang pengarang yang produktif dan ramai yang menyamakannya dengan Imam Ahmad dari segi ibadah, kewarakan dan keilmuannya. Tokoh ini mempunyai keilmuannya yang tinggi dalam bidang ilmu hadith dan juga mahir dalam ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil yang dianggap mencabar dan susah untuk dipelajari. Ilmunya juga sangat luas serta mendalam sekiranya ia berkait dengan dengan matan dan sanad sesebuah hadith.

Pada tahun 272 Hijrah, Abu Dawud telah datang ke Basrah dan telah dipelawa oleh Khalifah al-Muqaffiq supaya menetap di sana. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menyemarakkan suasana keilmuan dan pengajian di sana. Tentu sekali pelawaan itu diterima dengan hati yang terbuka dan di situ jualah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya di dunia ini. Abu Dawud telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 15 Syawal 275 Hijrah di Basrah.

GURU-GURU ABU DAWUD
  1. Abu Amr al-Darir
  2. Abu al-Walid al-Tayalisi
  3. Imam Ahmad bin Hanbal


MURID-MURID ABU DAWUD
  1.  Abu ‘Isa al-Tirmidhi
  2. Abu Abd al-Rahman al-Nasa’i
  3. Abu Sa’id al-‘arabi


 KARYA-KARYA ABU DAWUD

            Abu Dawud telah berjaya menghasilkan banyak karya terutamanya berkaitan dengan hadith dan juga syariah. Ada yang mengatakan bahawa karya hasilannya adalah sebanyak 12 buah, dan yang paling masyhur sekali adalah kitab Sunannya. Antara karya-karya lain adalah seperti:
i)      Kitab al-Masa’il
ii)    Kitab al-Marasil
iii)  Kitab al-Nasikh
iv)  Kitab al-Zuhd
v)    Kitab al-Qadr

PENGENALAN SUNAN ABU DAWUD

            Kitab Sunan Abu Dawud telah diletakkan oleh tokoh ilmuan pada tangga ketiga selepas Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, iaitu pada posisi pertama di antara al-Sunan al-Arba’ah. Setelah selesai menyusun sunan ini, beliau membentangkannya kepada Imam Ahmad dan diperakui olehnya. Pendekatan yang diambil oleh Abu Dawud adalah berbeza dengan kedua-dua tokoh sebelum ini iaitu al-Bukhari dan Muslim kerana ia melibatkan pemilihan hadith sahih, hasan dan juga da’if.

BILANGAN HADITH, KITAB DAN BAB BAGI SUNAN ABU DAWUD

            Abu Dawud telah meriwayatkan sebanyak 500,000 buah hadith, tetapi hanya 4800 buah sahaja yang telah dipilih untuk dimasukkan ke dalam Sunannya. Jika dihitung secara berulang-uang, jumlah kesemuanya adalah sebanyak 5274 buah hadith (‘Ajaj Khatib al-Baghdadi : 1989, 321). Kitabnya pula adalah sebanyak 35 buah dengan 1871 bab.

METODOLOGI PENYUSUNAN SUNAN ABU DAWUD

·         Menyusun kitab berdasarkan bab-bab fiqh dan membatasinya untuk al-sunnah dan hukum ahkam sahaja.

Manhajnya adalah jelas, yakni menghadkan pemilihan pada hadith-hadith fiqh sahaja dan tidak dikaitkan dengan kisah-kisah, peringatan-peringatan, zuhud, adab, tafsir, kelebihan amal dan sebagainya. Justeru, Sunan Abu Dawud dianggap sebagai karya Sunan pertama yang disusun berdasarkan bab fiqh.

·         Memilih hadith sahih, hasan dan yang selain daripadanya dengan disertakan penjelasan.

Kitab Sunan ini lebih dianggap sebagai sebuah karya hadith hasan. Sewaktu menjawab surat yang dihantar oleh penduduk Mekah yang memintanya menjelaskan manhajnya, beliau telah menyatakan dengan jelas : “Saya menyebut hadith sahih dan yang menghampiri serta dekat dengannya (hasan) di dalam kitab saya ini. Jika hadithnya terlalu da’if, saya akan jelaskan. Di dalam kitab ini juga tidak ada satu pun hadith yang berasal daripada perawi yang matruk. Jika terdapat hadith yang munkar, saya akan jelaskan.”

PERHATIAN ULAMA’ TERHADAP SUNAN ABU DAWUD

·         Para ulama’ telah banyak memberi perhatian kepada kitab ini terutamanya karya berbentuk syarah :

-          Ma’alim al-Sunan : al-Imam Abu Sulayman Ahmad bin Ibrahim bin Khattab al-Busti al-Khattabi (m. 388H)
-          ‘Awn al-Ma’bud ‘ala Sunan Abu Dawud : Muhammad Asyraf bin ‘Ali Haidar al-Siddiqi al-‘Azim Abadi.
-          Al-Manhal al-‘Azb al-Mawrud Sharh Sunan Abu Dawud : Mahmud bin Muhammad bin Khattab al-Subki

·         Abu Dawud sering mendapat pujian kerana sifatnya yang mulia, wara’ dan soleh. Malah beliau sangat dikenali dengan kehebatan ingatannya, keilmuan, dan juga kefaqihan yang ada pada dirinya.

Imam al-Ghazali memuji Abu Dawud dengan berkata : “Ia mencukupkan ilmu seorang mujtahid dengan hadith-hadith ahkamnya”

SAHIH MUSLIM


 JUDUL ASAL

Judul asal ialah “Al-Musnad Ash-Sahih Al-Mukhtasar Min As-Sunan bi Naql Al-`Adl `An Al-`Adl `An Rasulillah Sallallahu `Alaihi Wasallam.
المسند الصحيح المختصر من السنن بالنقل العدل عن العدل عن رسول الله صلى الله عليه وسلم))

 RIWAYAT DAN REHLAH ILMIAH PENGARANG SAHIH MUSLIM

            Nama sebenar Imam Muslim ialah Muslim bin al-Hajjjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi 204 Hijrah. [1]Gelaran yang diberikan kepadanya adalah “Abu al-Husyn” dan tinggal di  Nisabur. Beliau bermusafir ke Iraq, Hijaz, Syam, Mesir dan sebagainya demi untuk menuntut ilmu. Imam Muslim telah wafat pada tanggal Rejab tahun 261 Hijrah di Nasyr Abad, salah sebuah kampung di Nisabur.

GURU-GURU IMAM MUSLIM[2]
  • Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ju’fy (Imam Bukhari). 
  •  Ahmad Bin Hanbal
  • Ishak Bin Rahawaih

KARYA- KARYA IMAM MUSLIM

            Kitab yang paling mahsyur karangan Imam Muslim ialah Sahih Muslim. Sahih Muslim ini merupakan kitab yang kedua dari segi sahihnya setelah Sahih Bukhari.[3]
            Antara kitab Imam Muslim Muslim:    
  •  kitab Al-Ilal  
  • kitab Auham al-Muhadditsi 
  • kitab Al-Musnad al-Kabir ‘ala Asma’ ar -Rijal dan kitab Al-Jami’ al-Kabir ‘alal abwab.


            Sahih Muslim mengandungi 7275 buah hadith sahih termasuk yang matannya disebut berulang-ulang. Jumlah hadith sahih yang matannya yang tidak berulang-ulang berjumlah sebanyak 4000 buah hadith. Kitab sahih Muslim dikumpulkan di dalam 54 tajuk yang dikenali dengan: kitab. [4]

ANTARA METODOLOGI PENYUSUNANNYA

1. Menjelaskan tajuk perbincangan kitab sahih iaitu menghimpunkan hadits-hadits sahih musnadah (bersanad) tetapi bukan kesemuanya dikumpulkan dalam kitab ini.
2. Membahagikan hadits-hadits marfu` kepada tiga bahagian dan para perawi kepada tiga thabaqat (kelas).
3. Menjelaskan tiga bahagian hadits dan tiga thabaqat perawi-perawi.
4. Menyatakan tujuannya untuk menyusun hadits-hadits dengan mendahulukan yang sahih dan paling selamat (daripada kritikan ahli hadits) kemudian diikuti yang lebih rendah daripadanya.
5. Mengelakkan diri daripada mengambil hadits daripada perawi thabaqat ketiga (para perawi yang lemah) dan ditinggalkan riwayat mereka.
6. Menyentuh tentang `illah hadits di beberapa tempat mengikut kesesuaiannya tetapi bukan menjadi maksud utama beliau.
7. Tidak akan mengulangi hadits melainkan kerana terpaksa seperti hadits itu ringkas dan mengandungi lebih daripada satu tajuk.[5]


ANTARA KEISTIMEWAAN SAHIH MUSLIM

1. Susunan yang kemas dan unik.
2. Dari sudut perawi, Muslim membahagikan thabaqat perawi kepada tiga kelas.
3. Dari segi penyusunan hadits, Imam Muslim mengumpulkan hadits-hadits yang berulang di satu tempat dan disusun mengikut bab dengan beberapa sanad yang berlainan
4. Imam Muslim mendahulukan hadith yang paling sempurna untuk dijadikan sebagai asas atau usul bab.
5. Riwayat secara lafaz asal dan makna.

SYARAH SAHIH MUSLIM

Syarah-Syarah Sahih Muslim, antaranya:
1. Al-Maziri dengan kitabnya, Al-Mu`lim bi Fawa'id Al-Muslim.
2. Ikmal Al-Mu`lim oleh Qadhi `Iyadh.
3. Al-Mufhim Li Ma Usykila Min Talkhis Muslim oleh Al-Qurthubi.
4. Al-Minhaj bi Syarh Sahih Muslim Al-Hajjaj oleh Imam An-Nawawi.




[1] http://eprints.utm.my/2831/1/71851.pdf
[2] Manahij Al-Muhaddithin Metode Dan Pendekatan Sarjana Hadith, Faisal Ahmad Shah, Mohd Khafidz Soroni, Rosin Wazir (Kuala Lumpur: Jabatan Al-Quran Dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2010), 90.
[3] http://www.academia.edu/5610948/Imam_Muslim
[4] Pengantar Ulum Hadith, Rosmawati bt. Ali @Mat Zin (Kuala Lumpur: Pustaka Slam Sdn Bhd, 2005), 293.
[5] Dr. Hamzah al-Malibari, `Abqariyyah Imam Muslim, hal. 27-31, Maulana Anwar Al-Badakhsyani, Al-Imam Al-Muslim wa Manhajuhu Fi Sahihih, hal. 33-34.